Feudalisme 2.0

Tersebutlah kisah tentang seorang anak kecil yang lahir dari ovum, hasil persenyawaan dua pasangan manusia yang gradien harta mereka setelah digabungkan atas nama perkahwinan, layaknya disebut ; takkan habis tujuh keturunan.

Dua manusia tersebut, gembira bukan kepalang, tatkala anak kecil itu bolos keluar tepat-tepat ketika sang bidan baru saja mengeluarkan alat peraknya untuk mengeluarkan anak tersebut secara paksa dari proses hirisan perut pemilik ovum. Apatahlagi tatkala mengetahui, anak kecil tersebut adalah anak pertama yang lahir di malam tahun baru.

Anak kecil itu dikarunia nama paling ringkas pada ketika tersebut, iaini Seri, atas falsafah yang dipegang dua orang manusia tersebut, bahawa lebih ringkas itu lebih cantik. Falsafah ini terbentuk, kerana hasil pemerhatian mereka berdua, ramai anak-anak kecil ketika itu, diberi nama panjang berjela, mencecah hingga 4 ke 5 patah perkataan. Hal ini amatlah menyusahkan, lagi-lagi saat anak-anak kecil itu nanti mahu menulis nama sendiri di sekolah, mereka pasti kebingungan mahu menyusun atur huruf yang betul, jika salah, pastilah moral mereka jatuh, lalu tidak mahu sekolah lagi. Kemudian pastilah, gradien mereka yang bijak pandai di kerajaan ini akan jatuh merudum. Bukankah menggelikan, jika ianya terjadi hanya kerana perangai entah-apa-apa, dua orang manusia yang kebetulan melahirkan anak-anak kecil tersebut.?

Mahu saja mereka berdua, yang digelar Bunda dan Ayahanda oleh anak kecil bernama Seri itu, menggunakan kuasa veto mereka sebagai Pemerintah kerajaan Saka Raya ini untuk membikin akta menghalang mana-mana rakyat mereka untuk memberi nama melebihi 2 patah perkataan kepada anak-anak mereka. Namun, mengenangkan ianya mampu mendorong kepada rusuhan besar-besaran oleh rakyat, maka niat mereka ini dipendamkan dan mereka hanya mengutuk dari dalam istana sahaja. Itu pun terbatas di ruang-ruang privasi mereka berdua, kerana semua kerabat lain juga terkena perangai entah-apa-apa yang sama.

"Hatta dinding pun sudah bertelinga sekarang ini, sayang," kata sang Raja.

Namun, kerana ligatnya akal fikir mereka berpusing, mencari idea untuk menghapuskan perangai entah-apa-apa yang sudah bagai pandemik tak terkawal, mereka ketemu jalan keluar untuk masalah ini.

Mereka akan menjadikan Seri sebagai manusia contoh di dalam kerajaan ini.

Keputusan ini diambil mereka berdua, setelah melihat bagaimana perangai entah apa-apa ini merebak. Iaini lewat pengaruh primadona terkenal ketika itu, Siti Nurhalija Mariam Kembang Bunga. Primadona ini, yang meningkat naik gradien kepopularitiannya akibat perangainya yang halus, dan persembahannya di atas pentas yang mantap, benar-benar mencuri perhatian orang ramai.

Terutamanya manusia-manusia yang bakal menimang anak.

"Siti inilah," bilang sang Raja semasa membuka sembang dengan Permaisuri, "yang jadi inspirasi kepada bakal penimang anak, untuk beri nama hingga mencecah ke 4, 5 patah perkataan."

"Jadi memang anak ini sajalah jalan keluar untuk untuk kita selesaikan masalah ini ya, sayang," balas sang Permaisuri yang sedang menetek Seri. Wajahnya kelihatan sayu. Mungkin rasa bersalah kerana terpaksa memperalatkan anaknya sendiri demi kesejahteraan kerajaan. Sang Raja yang perasan dengan apa yang sedang dirasakan sang Permaisuri hanya diam, sambil menggengam erat jari jemari Permaisurinya.

"Sabarlah sayang," bisiknya dalam hati. Ianya bergetar, hingga sampai ke pintu hati Permaisuri. Dan atas sifat susu ibu, getar bisik itu sampai kepada Seri. Dia yang seakan faham, melepaskan puting ibunya, dan menggagau-gagau jemarinya kepada wanita yang sedang merangkulnya.

Sang Permaisuri menyambut jemari kecil anaknya itu. Seri senyum, lalu ketawa. Getar hatinya pula sampai ke pintu hati sang Permaisuri, yang kemudiannya dia sampaikan kepada sang Raja, lewat bisik halus di kuping telinga.

Sang Raja tabahkan hati. Rancangannya menggunakan strategi sama seperti Siti Nurhalija Mariam Kembang Bunga, iaini anaknya ini akan dia jadikan tauladan kepada seluruh warganya, biar pandemik ini berakhir, dan kesannya yang menakutkan itu tidak akan terjadi.

Kerajaan ini perlukan minda-minda segar, yang perlu dibugar sedari kecil lagi. Pepatah ; Melentur buluh biar dari rebungnya, bukanlah sekadar pepatah untuk dijadikan sebagai alat oleh para hipster dalam bersembang saja. Ianya ada jiwa, dan jiwa itulah yang dia sandarkan untuk menentang secara halus pandemik ini.

Dalam tempoh beberapa dekad akan datang, anak-anak kecil yang baru lahir hari inilah, yang akan menjadi pembikin dasar kerajaan, yang akan memakmurkan segala isinya, yang akan mempertahankan kedaulatannya, yang akan menjadi benteng. Dan untuk segala itu berlaku, intelektualiti murni diperlukan. Dan tidak ada jalan lain, kecuali sekolah.

Kerana itulah, dia bikin dasar pendidikan percuma. Walaupun ditentang habis-habisan oleh kerabat dirajanya yang baru, dia berdegil, dan tetap laksanakan. Mujur rakyat terima, maka para kerabat harus pasrah. Mereka tahu kesannya amarah rakyat pada mereka.

Namun begitu, jikalau nama yang panjang berjela, menjadi punca kepada jatuhnya moral anak-anak kecil ini, lalu menghalang rasa suka mereka kepada sekolah, pintu kepada ilmu, jalan kepada intelektualiti murni, bukankah ini bebal lagi menggelikan?

Maka kerana itu dia lancarkan perang halus kepada pandemik ini. Dan tidak ada jalan lain, kecuali memperalatkan anaknya sendiri, Seri.

Seri harus jadi rujukan kepada para bakal penimang anak. Tetapi lebih penting, dia harus jadi inspirasi kepada anak-anak kecil yang bakal jatuh moralnya itu. Maka dia akan lentur anaknya ini, supaya jadi manusia yang betul-betul punya intelektualiti murni.

Dan haruslah bermula sekarang perang ini.

"Permainan apa kita nak bagi anak kita sayang?" tanya sang Raja ketika sedang membelek-belek senarai permainan yang ditayang di kedai runcit sepelaung dari istananya. Sang Permaisuri yang sedang mendukung Seri yang sedang menangis, cuma senyum, dan kata, "apa-apa pun boleh sayang. Yang penting lepas piawai, jangan nanti Seri kita bagi racun sudah."

Sang Raja angguk, dan terus belek-belek permainan lain. Dia elus janggutnya, "susah juga jadi Ayahanda yang bermisi besar ni."

Seri terus menangis, dirangkulan Bundanya. Kadang-kadang ada warganya yang datang singgah dan mencubit geram pipinya. Yang mana bikin tangisnya makin runcing. Sang Permaisuri sabar, dan terus berusaha. Sama seperti sang Raja.

Mereka harus bersabar. Ini baru titik mula perjuangan mereka. Perang mereka. Gagal bukan pilihan. Nasib dan masa depan kerajaan sedang di dalam tangan.

"Ah, siapa kata perjuangan itu intinya coklat?" kata sang Permaisuri lewat lirik mata, dan senget bibirnya pada sang Raja yang kepenatan mengangkat permainan untuk Seri. Kendara mereka rosak tengah jalan tadi.