Siapa lagi kaya sekarang ni?


Aku melihat orang yang sedang berdiri di hadapan aku. Seorang wanita. Badannya langsing, tinggi. Macam model. Kalau orang sekali tengok pasti tidak percaya perempuan ini berumur 50 tahun. Aku senyum. Wanita itu turut tersenyum padaku.
                
Aku menebarkan pandanganku pada keseluruhan tubuhnya. Rambutnya ikal berwarna coklat. Mungkin asli. Mungkin juga diwarnakan. Wajahnya putih tanpa kedutan. Bibirnya merah saga. Hidungnya terletak sempurna dan matanya berkilau di bawah biasan cahaya lampu. Cantik.
                
Lehernya dipagari dengan rantai mutiara yang putih, bersih. Tubuhnya pula ditutupi dengan jubah berwarna hitam dengan jalinan benang emas yang membentuk corak abstrak di bahagian tengah jubahnya. Pergelangan tangannya digari dengan gelang emas. Kemilau cahaya yang disebabkan biasan cahaya gelang tersebut, menikam kornea mataku.
                
Aku pandang semula wajah wanita itu. Mekap tipis menghiasi wajahnya. Ringkas dan nampak natural. Aku senyum lagi. Aku lihat wanita itu turut tersenyum, senyuman mengejek. Aku menelengkan kepala ke kanan, dia turut ikut menelengkan kepala. Tapi di sebelah kiri. Aku angkat tangan kanan, dia mengangkat tangan kiri.
                
Kurang ajar! Kau ikut aku! Kau nak memperbodohkan aku? Hati aku memberontak.
                
Aku menggerakkan tanganku dan menyentuh wajahnya. Dingin. Pelik. Aku tak dapat rasa haba kulitnya. Bila aku menyentuh wajahnya, rasanya bagai menyentuh gambar. Hanya 2-dimensi. Pelik. Dahi aku berkerut. Dahinya turut berkerut, umpama faham perasaan aku yang aneh ini.
                
“Apa yang awak buat dekat depan cermin tu? Jomlah, kita dah lambat nak pergi dinner Dato’ Azhar ni. Dia kata tadi nak bincang his latest project. Dengar kata boleh untung 90 juta ringgit. Awak dah siapkan? Saya tunggu dekat limo, okey?” seorang lelaki separuh abad, dengan perut yang buncit menegurku. Tan Sri Imran.
                
Aku senyum, dan mula melangkah ke pintu, meninggalkan wanita separuh abad yang cantik tadi. Suamiku sedang menunggu di bawah.

***
                
“Mana you beli jubah ni?” Datin Rosa sibuk membelek jubah hitamku.
                
“Ohh. I pergi Qatar haritu. Ada sale! Dapatlah enam ribu dolar satu meter. Murah!” aku tersenyum bangga. Seorang wanita muda, dengan skarf melilit di leher datang membawa dulang berisi teko dan beberapa cawan.
                
“Wow! Set terbaru ke ni?” Datin Salmah di sebelahku bertanya kepada Datin Rosa, selaku tuan rumah untuk dinner ini. Aku mengangguk, bersetuju dengan soalan Datin Salmah.
                
“Ohh. Haah. Hari tu I ada pergi China, ternampak pulak set antik ni. I berkenan, so I belilah. Dia lelong. Ramai jugak yang berminat, tapi last-last I jugak yang menang!” Datin Rosa mengekek ketawa. Aku tak faham apa yang lawaknya, tapi aku hanya tersenyum.
                
“I beli dalam fifteen thousand dollars. Eh, rasalah teh ni! I beli dekat China jugak. Beijing. Dia kata this is one of the most expensive tea in the world. I nak rasa, so I belilah. 3500 dollars for 50 grams. I terkejut jugak. Tapi last-last I beli sekilo. Untuk dinner ni lah,” Datin Rosa tersenyum lagi.
                
Aku hanya tersenyum sambil membetulkan letak rantai mutiaraku. Biar mata-mata mereka ini melihat rantai mahal ini. Sesekali aku menangkap perbualan suamiku dan Dato’ Azhar yang melibatkan jutaan dollar. Bertambah lagi duit suami aku. Banyak lah lagi benda yang aku boleh beli. Senyum.
                
Semua benda ni, adalah hasil usaha suami aku sendiri. Dia tak mintak tolong pada siapapun! Tengoklah dia sekarang. salah satu usahawan berjaya di Asia.
                
“Eh, I nak pergi tandaslah. Dekat mana eh?”

***
                
“Apa you cakap? Macam mana you boleh batalkan projek tu last minit pulak ni?! I dah habis berjuta dollar dalam projek ni! Semua duit syarikat, I dah guna untuk projek ni! Habislah muflis I nanti!” aku memandang suamiku yang sedang bercakap di telefon.
                
“You jangan nak lepas tangan je! Habislah I nan..”
                
“Kurang ajar!” Suamiku menghempaskan iphonenya ke lantai. Skrin retak, berkecai.
                
“Kenapa ni bang?”
                
“Si Azhar tak guna tu lah! Dia pergi batalkan projek tu last minit. Habis semua duit saya, duit syarikat lesap! Muflislah aku nanti, muflislah,” aku lihat suamiku mundar-mandir, tak senang duduk.
                
“Habistu macam mana ni bang? Saya dah order banyak baju dari Paris haritu. Semua termasuk kos shipping semua dekat 15 juta dollar bang! Siapa yang nak bayar?”
                
“Apa? Baju apa yang kau beli sampai 15 juta ni? Kau ingat aku ni kerja apa? Cop duit? Dah, aku nak keluar dari rumah ni. Kalau kau nak ikut, ikut. Kalau tak nak, kau matilah dengan harta-harta ni semua,” dia bergegas ke pintu.
                
“Abang!”
                
Aku takkan tinggalkan rumah ni! Kalau aku keluar dari rumah ni, aku nak pergi mana? Kampung? Takkan! Aku nak hidup mewah! Aku nak duit! Aku nak disanjung sebab kekayaan! Kalau malaikat maut datang pun, aku sanggup bayar berapa juta dia nak agar ajalku ditunda. Hahaha!

***
                
“Kau tak boleh ambik semua ni! Ni semua aku punya!” aku meronta-ronta di hadapan pintu sambil menyaksikan seorang-demi seorang lelaki mengambil barang dari rumah ke lori. Tak boleh! Ni semua harta aku! Aku tak nak miskin!

***
                
“Makcik? Kenapa makcik tidur kat sini?” perlahan-lahan aku membuka mata. Wajah seorang gadis bertudung kuning menyapa pandangan. Wajahnya sungguh jernih. Aku bangun dan lihat keliling. Aku tertidur di pondok bas rupanya.
                
Pandanganku tertancap ke arah tangannya. Dia kelihatan sedang menggenggam erat sebuah buku. Genggamannya kejap bagai buku itu nyawanya. Buku yang aku sudah lama tidak buka dan baca.               
                
“Buku apa tu nak?”
                
“Oh ini? Ni Al-quran. Mak cik nak baca ke?” dia menghulurkan Al-quran di tangannya kepadaku. Aku sambut dengan tangan menggigil. Zip perlahan dibuka. Sehelai-demi sehelai aku selak. Aku berhenti di muka surat 23. Sebahagian muka surat tersebut penuh dengan tulisan yang aku tidak faham, tak dapat baca. Nasib baik ada tulisan rumi. Boleh aku baca.

Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku.(Al-Baqarah: 152)
                
Air mata aku tumpah. Sungguh dah lama aku lupa Allah. Aku jual akhirat, untuk berhibur di dunia. Ya Allah, banyaknya dosaku padaMu. Pipiku masih basah dengan air mata. Sungguh aku rasa diri aku kotor. Kotor dengan dosa.
                
“Makcik. Jom ke rumah saya? Makcik boleh tinggal dengan saya,” aku melihat wajah gadis itu. Dia tersenyum. Aku ikut tersenyum. Subhanallah! Masih ada orang seperti ini di atas bumi ini. Di situ juga aku bersujud syukur, ditemani air mata dan rintik-rintik hujan yang mula turun melebat.