pasca-valentain : bilik sewa

Iklan bilik sewa itu tiada gambar, tiada harga, tiada tempat, tiada nama. Yang ada cuma nombor talipon. Setelah berminggu mencari, Samael Jiwa agak akhirnya dia telah berjumpa dengan sebuah bilik murah yang berjarak lebih kurang sepelaung dari tempat kerja barunya. Susah kalau tak berkenderaan di kota keriangan ini. Samael Jiwa berjanji dengan tuan bilik itu (seorang perempuan, harapnya cantik) untuk bertemu di Paylessbooks Amcorp Mall. Samael Jiwa tiba setengah jam lewat daripada yang dijanjikan kerana tren rosak di Setiawangsa. Namanya Mariam. Sama macam nama nenek aku, gelak Samael Jiwa dalam hati. Tapi cantik juga orangnya. Tidaklah cantik sampai tak berkelip mata Samael Jiwa memandangnya tapi oklah, manisnya ada. Di celah-celah rak buku sedikit berhabuk, Mariam mengeluarkan kunci dari kocek belakang jeans kemudian membuka satu-satunya pintu di dadanya, sedikit ke kiri. Lompong saja dalamnya. Katanya inilah bilik yang dia nak sewakan, sorilah sebab sedikit berhabuk. Ok ke tak?

by ahmad, Tuesday 13 March 2012