Doppelganger.

"Cepat bawakan aku lari daripadanya." pohon Julia dengan wajah yang cemas.

Tanpa amaran, sebutir peluru melayang menembusi kepala seorang kanak-kanak yang sedang bermain belon satu meter disebelah kita. Darah terpancut dan otaknya lebur. Sejurus selepas itu, jeritan seorang wanita mengisi ruang bunyi yang hiruk pikuk tadi. Aku pantas memimpin tangan Julia, mencelah masuk kedalam khalayak padat di pasar malam. Moga-moga dapat lari daripada pembunuh yang memburu kita berdua.

Julia kelihatan kurang selesa dengan tengikan bau ikan dan sayur busuk disekitar. Kami melangkah deras. Ada beberapa ketika kami berlanggar bahu dengan orang-orang lain. Sesekali, aku menoleh ke belakang, melihat pemburu nyawa kami semakin menghampiri dengan pistol ditangan kanannya.

"Berhenti!"

PANG!

Satu tembakan dilepaskan ke udara. Mereka yang berada dipasar ketika itu cepat-cepat tunduk meniarap, bimbang sekiranya mereka pula yang menjadi sasaran peluru yang seterusnya. Ada yang bertolak-tolak, menarik-narik. Keadaan sudah tidak terkawal. Seorang ibu disebelah aku tangkas mendukung anak kecilnya, naluri untuk melindung anak dari bahaya.

Dalam keadaan yang sesak, fikiran aku berserabut. Wajah Julia pucat lesi. Kami berjaya meloloskan diri daripada pasar tadi dan kini sedang berlari menuju ke stesen LRT. Syukurlah kaunter membeli tiket lenggang.

Sesudah membeli tiket, kami duduk diatas bangku menunggu ketibaan tren. Menurut papan tanda, tren yang seterusnya akan sampai dalam masa 2 minit lagi, tak lama. Aku menghela nafas lega.

"Kenapa, kenapa dia kejar kita?"

Julia tak menjawab. Senyap. Dia menoleh kebelakang untuk pastikan kami tidak diekori. Kelibat pembunuh tadi sudah tidak kelihatan. Ghaib.

Julia mengambil tangan aku, diramasnya lembut. Aku menatap mukanya yang pucat tadi, kini sedikit tenang. Pipi putih gebu-gebunya membentuk lesung pipit bila dia senyum. Pada saat itu, aku pun terasa indah. Seolah-olah tiada apa-apa lagi yang menghantui walhal beberapa minit tadi, kami berlari-larian seperti pelarian mangsa perang Bosnia.

Tren datang.

Aku berdiri, diikuti Julia. Berpegang tangan erat. Beberapa orang bersesak-sesak mahu merebut tempat duduk. Kami tak pedulikan sangat tentang tempat duduk, asalkan sempat naik tren dan asalkan kami berdua ada disisi masing-masing sudah lebih dari cukup. Aku cium dahi lembut Julia, dia membalas senyuman tulus.

Aku membayangkan hari-hari aku bersama dia nanti, di kampung bersebelahan pantai. Tren ini akan membawa kami jauh daripada kota yang kejam ini menuju ke halaman yang damai. Disana, aku dan dia meniti alam tua, membesarkan anak-anak tercinta. Duduk bersama diaatas batu sambil mengira waktu senjanya alam. Disana nantilah aku akan habiskan sisa baki hidup bersama seorang bidadari.  Ah, terlalu indah!

Pakcik berserban didepan kami menunjukkan muka kelat.

Tiga saat sebelum pintu tren ditutup, pembunuh yang memburu kami tadi muncul dari hujung kaunter. Wajah bengisnya menunjukkan dia belum berputus asa. Dia berlari meluru kearah kami sambil pistolnya digenggam kuat.

Aku tidak dapat mengingat butir-butir yang berlaku pada hari Selasa itu. Kedengaran bunyi tembakan yang kuat, jerit-jerit ketakutan orang disekeliling, dan apa yang aku tahu, Julia sudah terbaring disebelah berlumuran darah. Mungkin sebelum pintu tren tertutup, si pembunuh tadi sempat melepaskan tembakannya.

Tren bergerak meninggalkan stesen.

Aku sentuh tubuh Julia, semakin sejuk. Nafasnya semakin surut. Wajah cantiknya semakin pudar. Aku soal dia, "Siapa lelaki yang memburu kita tadi?" Pakcik yang beserban tadi datang cuba membantu. Sayangnya, dia bukan doktor. Lagipun ajal Julia memang tidak dapat diselamatkan lagi dalam keadaan yang parah seperti ini.

Julia pandang tepat kemata. Matanya penuh sakit dan sengsara. Dia cuba berkata sesuatu, tetapi samar-samar. Dengan baki tenaga yang tersisa, Julia menghampiri telingaku seraya berbisik enam buah perkataan yang aku tidak akan lupa sampai bila-bila.

"Itu adalah kau yang satu lagi."

by jhnrdzi, Saturday, 31 March 2012