Pulau Tunggal
Kita tak perlu pemerintah,
hanya pengurus utiliti
Tenaga elektrik, air bersih
barangan runcit, cara komunikasi
cara pengangkutan dan perumahan.
Bukan jari menunding,
menentu yang baik dan buruk,
betul mahupun salah.
Jari-jari yang menulis undang-undang,
menjaga kepentingan yang ada dari yang tiada,
melindungi yang sedikit dari ramai,
mendaulatkan yang mulia dari kebiasaan,
bermula dengan penerimaan kemiskinan sebagai satu cara hidup.
Kita mesti menjadikan dunia ini selamat untuk kemiskinan
tanpa pergantungan kepada pemerintah.
Kita tak perlu banjaran bayangan terlukis di peta dunia
yang memisah manusia sejagat.
Banjaran berbatu granit pun dibuat terowong
dengan kurnia akal tercipta
kerna tak semua tanahnya subur dan kaya
biar manusia ini bebas bercinta.
Pekerjaan tidak lagi munasabah,
pekerjaan kini sepatutnya usang.
Kita telah mencipta mesin untuk melakukannya untuk kita
jentera dan mesin yang maju
di perkilangan atau lombong.
Mengapa masih lagi masa berkerja itu sama?
Mengapa masih gaji itu rendah?
Mengapa masih harga barangan makin mahal?
Sekarang kita telah tidak perlu berbuat apa-apa
Apa yang kita akan lakukan?
Melihat pada peta dunia geodesik Fuller,
kita lihat bahawa Bumi adalah sebuah pulau tunggal.
Kita mesti memberi semua orang apa yang mereka perlukan untuk hidup
dalam apa jua cara yang mereka mahu.
Post a Comment