Pita Kenangan


Jika kenangan pahit yang berputar di ruang minda boleh diandaikan seperti pita rakaman, pasti sekarang aku sedang sibuk mencari pisau. Mahu saja aku kerat babak-babak yang menyakitkan itu kemudian aku gantikan dengan kepingan pita baru yang berwarna hijau muda, teal, ungu dan light salmon.

Malangnya pisau itu tiada.

Jadi,suka atau tidak, pita ini harus terus terpasang dan hanya akan terhenti jika aku ditimpa amnesia, alzheimer atau meninggal dunia.

Hari demi hari, aku menjadi penonton setia kepada pita rakaman yang terpasang. Ironinya hanya aku seorang yang dapat menontonnya, maka sekaligus aku jugalah yang menjadi hakim tunggal. Hinggalah tiba satu momen, aku hampir hilang perkataan untuk merungut dan sesak nafas untuk mengeluh. Aku juga sudah ketandusan tenaga untuk mencari pisau yang langsung tidak kelihatan.

Maka kali ini, aku tekad menamatkan pencarian. Yang aku perlu adalah menggulung pita ini sebaik mungkin dan menyimpannya kemas-kemas di sebalik cranium otak. Kerana mungkin suatu hari nanti, semua orang akan meninggalkan aku.. lalu yang tinggal  hanyalah pita ini sebagai teman karib.

Siapa tahu, mungkin waktu itu aku akan tertawa sendirian menontonnya. Masa bisa menjadi gula untuk hilangkan kepahitan momen lampau, kawan.

Mungkin.



4 Responses to Pita Kenangan

sha usd said...

Mungkin pita rakaman itu bisa ditukar dengan kepingan rekod hitam legam..
Agar mudah untuk dipatahkan saat terputar lagu sarat metalika..

EZAN IDMA said...

Simpan pita itu. Suatu hr boleh ditunjukkan pada org lain sbg pengajaran bukan?

Izza said...

sha usd: padu. besar maknanya

ezan: setuju. boleh jadi

:)

sha usd said...

Haha. Sekadar memberi sedikit buah fikiran.. ^,-