Agenda nombor 11
Aku masuk dan terus mengambil tempat di belakang sekali. Alasan aku mudah, aku bukan mahu mendengar sangat dan tidak mahu bertanya sebarang soalan. Tidak ketinggalan, aku juga sebenarnya sudah lewat tiga puluh minit untuk mesyuarat ini.
Dari belakang, aku mendengar dengan jelas segala butir-butir mesyuarat yang sedang disurahkan oleh ketua jabatan. Dari tadi, nada suaranya tidak berubah, sentiasa tinggi. Aku tidak tahu samada ini betul-betul satu mesyuarat atau sesi memarahi staff bawahan.
Dari tempat duduk, aku meninjau-ninjau jauh ke hadapan. Kelihatan seorang staff sedang mencatit segala apa yang keluar dari mulut ketua jabatan. Owh aku hampir terlupa bahawa memang tugasnya sebagai minutes taker untuk semua mesyuarat yang melibatkan ketua jabatan, samada di dalam dan juga luar jabatan. Di sebelahnya pula duduk seorang staff yang kejap angguk, kejap tulis, kejap angguk dan angguk angguk angguk. Itu adalah bos yang kedua, yakni satu lapisan di bawah ketua jabatan. Satu tulis dan lima angguk itu merupakan satu definisi yang tepat untuk menggambarkan peribadi beliau.
Dan yang selebihnya adalah staff-staff bawahan yang merupakan penggerak utama jabatan ini tetapi macam biasa la, yang paling kurang mendapat perhatian. Aku memerhati flip chart yang sudah hampir penuh diconteng oleh ketua jabatan. Aku cuba membaca apa yang tertulis. Ada agenda sebagai tajuk besar, dan ada nombor satu sehingga sepuluh dibawahnya. Mengambil kira ada sepuluh agenda, beserta hal-hal lain yang akan ditambah secara tidak sengaja oleh ketua jabatan, aku menjangkakan mesyuarat ini akan mengambil masa selama dua jam. Lebih parah, tiada tea o suam dan mihun dihidangkan. Karipap pun takde.
Selepas kesemua sepuluh agenda dibentangkan, ramalanku kurang tepat apabila masa sebenar yang diambil untuk mesyuarat ini adalah selama dua jam tiga puluh minit. Aku tertidur untuk tiga puluh minit terakhir itu. Tiba-tiba, ketua jabatan memandang tepat ke arahku dan mula bertanya.
"Mustaqim, kamu denagr apa yang saya beritahu tadi?"
"Dengar Puan, dengar"
"Agenda mana yang kamu rasa kamu kena buat lepas ni?"
"Agenda nombor sebelas Puan"
"Hahh nombor sebelas? Agenda ada sampai sepuluh je Mustaqim"
"Agenda nombor sebelas, sila kemas bilik mesyuarat ni dan simpan semula flip chart dan LCD projektor di tempat yang sepatutnya"
One Response to Agenda nombor 11
suasana mesyuarat dari pandangan mata budak pejabat.
:-)
Post a Comment