badut yang tak pernah berhenti senyum
3
lelaki dalam cerita ini adalah seorang badut.
kita semua tak perlu tahu tentang nama lelaki ini kerana pada akhirnya kita
tetap akan memanggilnya badut. dan badut dalam cerita ini adalah badut yang tak
pernah berhenti senyum.
dipendekan cerita ─ setiap hari selama dua
puluh lima tahun, dia akan senantiasa tersenyum tanpa mengira waktu. pagi,
petang, siang dan malam. masa tidur, bangun pagi, pergi tandas, melintas jalan atau
apa saja yang dia lakukan, senyuman tetap kekal terukir di wajahnya. badut ini
mungkin pernah diancam oleh seorang abang kawasan yang berbadan sasa dan
berambut perang tetapi dia masih saja tersenyum. abang kawasan yang berniat
untuk memukulnya itu terpaksa melupakan saja hasrat tersebut.
sebenarnya, tak ada sesiapa yang tahu bahawa
badut ini pernah menangis. jika dilihat dari jauh, dia tetap tersenyum walaupun
sedang menangis ketika itu. cuba dekatkan jarak anda, maka anda akan dapat
lihat air matanya yang berjujuran serta mengalir laju bak air terjun. pun
begitu, senyumannya masih kekal terukir. jadi, siapa yang peduli samada dia
bersedih atau gembira? senyumannya tak pernah lekang walau dalam apa jua
situasi.
suatu hari, badut ini sedang berada di celah
lorong antara dua bangunan. dia sedang berdiri menghadap dinding salah satu
dari dua bangunan tersebut. baiklah, sebenarnya badut ini sedang kencing
berdiri. dan seperti biasa, dia senantiasa tersenyum. ketika kencingnya sampai
ke titisan yang terakhir, tiba-tiba dia nampak dinding bangunan di hadapannya
seolah-oleh mencair membentuk sebuah pusaran. beberapa detik kemudian, muncul
seekor ikan paus biru dewasa. kita semua tahu tentang saiz ikan paus biru
dewasa.
sebagai seorang manusia yang setiap derianya
masih aktif, badut ini tergamam seketika. oh, dia masih tersenyum walaupun tergamam jadi mungkin kita tak tahu yang dia sedang tergamam. dia mula
berpaling dan cuba untuk melarikan diri. belum sempat kakinya terangkat,
separuh badannya sudah berada di dalam mulut ikan paus biru dewasa tersebut
yang kita semua tahu tentang saiznya.
seorang polis yang melintasi kawasan tersebut
cuma melihat badut ini menggawangkan tangannya manakala separuh badannya sudah
berada di dalam mulut ikan paus biru. badut ini menjerit minta tolong, sambil
tersenyum. polis tersebut cuma membalas senyumannya dari jauh kemudian
melangkah pergi. sejak hari itu, tak ada sesiapa lagi yang pernah melihat
kelibat badut ini bersama senyumannya. mungkin ikan paus biru itu telah
menelannya kemudian hilang di sebalik dinding bangunan. timbul juga cakap-cakap
belakang yang mengatakan badut ini terkena sumpahan penunggu dinding bangunan
akibat dia kencing berdiri di situ tanpa meminta kebenaran. ada juga yang
cakap, dia diculik piring terbang atau disembunyikan oleh bunian.
tiba-tiba seluruh bandar menjadi muram tanpa
badut dan senyuman yang senantiasa terukir di wajahnya. walaubagaimanapun,
keadaan itu cuma dirasai seketika sebelum semua orang mulai lupa akan kewujudan
atau kehilangannya. ya, dia cuma seorang badut. sebenarnya, kita semua tak
pernah peduli tentang kisah badut yang tak pernah berhenti senyum.