Sajak di atas diambil dari filem The Grey (2012) arahan Joe Carnahan yang juga merupakan pengarah filem The A-Team (2010). Secara peribadinya ia antara filem kegemaran saya, bukan kerana dibintangi Liam Neeson, namun kerana saya sukakan tema, mesej, jalan ceritanya serta sajak ini. The Grey ialah wayang kisah manusia melawan alam, atau man vs nature, atau man vs wild. Liam Neeson sebagai watak utama bernama John Ottway bersama kumpulannya terkandas di hutan Alaska selepas kapal terbang yang dinaiki mereka hilang kawalan dan terhempas di situ. Di dalam cubaan untuk menyelamatkan diri dan terus hidup, mereka telah diduga dengan cuaca ekstrim, konflik dalaman sesama mereka serta antagonis cerita ini; sekumpulan serigala kelabu.
Sajak ini ialah satu-satunya jambatan memori antara Ottway dan mendiang bapanya. Melalui rangkap ini, semangat bapanya telah diperturunkan kepadanya. Sekurang-kurangnya ia membuatkan Ottway bertahan demi menempuh hari demi hari. Saya juga berfikir begitu. Dari kaca mata saya, sajak ini pendek, tetapi mesejnya sangat besar dan kuat, dan itulah yang membuatkan ia menarik sekali. 'Jangan putus asa', 'percaya pada kekuatan diri sendiri', 'tabah menempuh dugaan' dan lain-lain yang seangkatan antara mesej-mesej yang saya boleh tafsirkan. Menyokong idea ini, dua baris terakhirnya sengaja dibiarkan berulang, mungkin demi memberi penekanan pada mesejnya. Hey, ia berkesan. Sajak ini jadi hebat dan menarik dek pengulangan baris tersebutlah.
Di dalam babak-babak terakhir The Grey, hanya Ottway yang tinggal (yang lain sudah mati) dan beliau telah dikepung oleh kumpulan serigala yang memburunya sedari awal. Terperangkap, Ottway cuma ada dua pilihan, (i) menyerah diri dan membiarkan dirinya dibaham atau pun (ii) bangun melawan. Semestinya, menyahut semangat bapa dan sajaknya, Ottway memilih pilihan kedua. Filem kemudian terus ditamatkan begitu sahaja. Nasib Ottway sama ada hidup atau mati diakhir cerita tidak diketahui, namun audien dibiarkan melihat dan mempercayai yang itu ialah pertempuran terhebat dan terakhir beliau demi nyawanya.
Kesimpulannya, hari-hari buruk kalian ialah serigala yang jahat yang mahu kalian mati kerana mereka lapar dan daging kalian sedap. Walaubagaimanapun, jangan mengaku kalah. Kalian sekarang ada sajak ini dan Liam Neeson, jadi lawanlah!