Archive for February 2013

Habuk habuk.

0

Mula2 merangkak
Dalam alam yang tiada
dindingnya bergerak.

Terikat dalam bulatan maya.
Aku reka sendiri agar tidak
lemas di udara.

Biarkan dihayun rawak.
Yang tidak ubah apa hati sudah orak.

Bidadari serta pria asing.
Punya iblis menulis menebar idea.
Sepatah kata diajak pusing.
Mulakan bicara menjentik rasa.



ULASAN : Buku Perempuan Nan Bercinta

4























Tajuk     : Perempuan Nan Bercinta
Penulis   : Faisal Tehrani
Penerbit  : ITBM - Published 2012 by Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad (276206-D)
ISBN      : 9789830688


Sebenarnya, sudah agak lama saya tamat-baca buku ini tetapi baru punya kesempatan untuk meneliti serta cuba memberi ulasan. Seperti yang tertera di belakang sampulnya, ternyata buku Perempuan Nan Bercinta adalah karya Faisal Tehrani yang paling provokatif setakat ini. Saya sendiri telah mengikuti beberapa karyanya yang lain dan tidak dapat dinafikan betapa liuk-lentok sastera tersadur kemas dalam segenap susunan aksara serta gaya bahasa, lantas menjadikan penceritaannya kuat dan makin menarik.

Perempuan Nan Bercinta; sangat bertepatan dengan beberapa watak dalam buku ini. Watak utama yang pertama menampilkan Tengku Idora, seorang perempuan yang memperjuangkan hak asasi wanita melalui sebuah gerakan feminis ala Barat, Modest Women Oriental (MWO). Bersifat progresif, gemar bermain-main dengan doktrin liberal serta menolak hujah-hujah berlandaskan sekolah pemikiran Islam yang lain. Dia begitu akibat sejarah lampau. “Dor, cari perempuan mulia yang menentang sehingga mati, cari perempuan yang menentang meskipun sudah mati.” Bisikan dari arwah bondanya yang sering muncul dan terus mengganggu kewarasan Tengku Idora. Sehinggalah suatu keajaiban telah berlaku terhadap diri Tengku Idora yang mana telah menghidap kanser pada tulang utama atau ewing’s sarcoma dan pada akhirnya telah sembuh tanpa campur tangan manusia. Pejuang feminisme yang nazak itu tersembuhkan di kota Madinah berkat doa dan bertawassul di Raudhah. Setelah itu, Tengku Idora menjadi seorang perempuan yang sama sekali lain, seorang perempuan nan bercinta yang mulus buat suaminya. Dalam erti kata lain; dia insaf. Betapa dia adalah insan yang terpilih dan menghampiri hikmah.

Watak kedua adalah Zanjabila, adik kepada Idora. Perwatakannya sama sekali berbeza dan bertentangan dengan kakaknya; dia seorang yang lemah lembut dan terasuh sebagai perempuan lawa lahir batin. Cinta Zanjabila kepada ilmu telah menemukan dia dengan seorang pemuda yang juga berilmu dan menjadikannya seorang perempuan nan bercinta. Mereka menghalalkan hubungan dengan bernikah setelah perkenalan yang singkat. Zanjabila terus membiarkan dirinya diulit dengan ilmu dalam masa yang sama cuba membawa kakaknya kembali ke landasan yang betul. Buku ini turut menampilkan seorang lagi perempuan nan bercinta iaitu Siti Fatimah Ali Taqi. Perempuan yang berjiwa revolusioner dan mewarisi keberanian Fatimah binti Rasulullah. Dia juga mencintai sejarah dan politik; politik yang merangkumi persoalan serta definisi yang lebih luas dan bukanlah urusan pemerintahan sesebuah negara semata-mata. Siti Fatimah Ali Taqi, seorang perempuan nan bercinta yang terus bangun melawan ketidakadilan. Dan secara keseluruhannya, perempuan nan bercinta di dalam buku ini merujuk kepada nilai-nilai murni, keperibadian serta keimanan Sayidatina Fatimah Zahra.

Sekarang, saya kembali kepada perihal pandangan mengenai buku ini dari kaca mata saya sendiri. Perempuan Nan Bercinta adalah sebuah buku yang mencoretkan sebuah penulisan deskriptif yang sarat dengan kognitif. Untuk seorang lelaki yang masih miskin dengan ilmu terjemahan/tafsir al-Quran dan hadis, buku ini berat betul. Dari sisi lain, saya menelannya sebagai sebuah konsep mengkaji dan berfikir seterusnya menghadam sebagai pemahaman dan iktibar. Mungkin tidak keterlaluan jika saya anggap membaca karya Faisal Tehrani yang satu ini seolah-olah membaca beberapa terjemahan hadis. Juga perihal hadis sahih, hadis tidak sahih dan hadis maudhu’ atau palsu. Selain itu, buku ini juga penuh berselirat dengan cabang filsafat yang bersimpang-siur dalam sekolah pemikiran Islam, perbezaan pendapat antara mazhab, syiah dan sunni, soal ilmu dengan tunjang imamik, keimanan, tasawuf, sufisme, tawassul, Islam liberal dan pelbagai isu seperti perjuangan Hezbollah, perihal Mekah dan Madinah yang dijual atas nama wakaf, juga menelanjangkan kebejatan penguasa Mekah itu sendiri. Faisal Tehrani turut mengkritik golongan Wahabi (salafi?) dengan bergaya. Semuanya diadun sebati dan tersusun kemas di atas plot yang mudah difahami.

Membaca buku ini membuatkan saya tercampak ke dalam forum, pidato serta tengggelam dalam pelbagai wacana dan perdebatan seputar agama dan mazhab yang rata-ratanya begitu sensitif di kalangan masyarakat kita. Coretan mengenai sejarah kelahiran ‘Ahli sunah Waljamaah’ serta kemunculan empat mazhab fikah yang ada hari ini, juga mengenai kerapuhan pakatan Ahli sunah Waljamaah dari segi teologi dan pakatan fikah yang longgar serta saling bertabrakan adalah sangat bersifat provokatif. Tidak mustahil jika buku ini bakal mencetuskan kontroversi dan mendapat kritikan dari golongan agamawan yang punya percanggahan pendapat. Saya tertarik dengan hujah Dr. Ali Taqi, antara watak utama dalam buku ini. Ketua Pengarah FASEH ini juga seorang tokoh Islam, seorang prinsipal dengan pandangan sarwa tauhidik profetiknya berkata, "Tidak, saya tidak menulis untuk ditujukan kepada tuan-tuan. Saya mengarang untuk masa hadapan. Saya anggap sebahagian besar pembaca kajian saya hari ini, di luar sana, ibarat raja yang suka bertepuk tangan dan mengangguk. Khalayak lain yang akan menilai saya. Khalayak mendatang akan bertepuk tangan, mengangguk dan betul-betul mengerti kerana mencapai inti." Saya beranggapan bahawa ayat ini menggambarkan tujuan sebenar Faisal Tehrani di dalam penulisannya. Begitu juga dengan dialog-dialog merangsangkan yang diucap oleh watak-watak lain dalam buku ini. Selain mengutarakan isu, ia juga menawarkan penyelesaian. Di sini mencerminkan ciri-ciri seorang rausyanfikir.

Sebelum mengakhiri ‘apa yang dipanggil ulasan’ ini, saya juga ingin menyentuh mengenai empat persoalan yang dibangkitkan oleh Bastian di dalam buku ini, di mana persoalan-persoalan itu menjadi penghalang untuk dia terus memeluk Islam. Oh ya, begitu juga dengan Hilda, wartawan CNN dan juga seorang Koptik. Pada akhirnya mereka berdua ini telah memeluk Islam setelah mendapatkan kempat-empat jawaban kepada persoalan itu. Apakah persoalan yang dibangkitkan? Apakah jawabannya? Siapa pula yang menjawabnya? Anda perlu baca sendiri agar lebih memahami. Pendedahan demi pendedahan telah menunjukan bahawa Sunni dan Syiah adalah saling melengkapi. Ahlul Bait bukan milik mutlak Syiah tetapi bisa menjadi rujukan dan hak semesta alam. Dan tema ‘supramazhab’ adalah menjadi tunjang kukuh untuk buku ini. Mungkin juga mencerminkan diri Faisal Tehrani sendiri.


Sumber : sinarharian.com.my


Apabila khatam dan menutup buku ini, saya jadi tertanya-tanya apakah sebenarnya yang cuba dibawa oleh penulis? Adakah tentang penjelasan sesuatu fahaman atau pegangan dalam erti kata lain; keimanan dan keyakinan? Atau suatu pembetulan fakta berbentuk provokasi dalam lembaran fiksi keagamaan? Sebagai seorang muslim, saya sendiri jadi goyang; di mana saya berdiri sekarang atau di mana harus saya berdiri sekarang? Timbul kekeliruan tapi kadangkala merungkai persoalan. Dan pada akhirnya, saya beranggapan atau mungkin sedar betapa ia hanya persoalan kepada jawaban. Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Sebuah garapan dalam bentuk fiksyen yang bijak. Walaubagaimanapun, saya yakin bahawa sebuah buku tidak bisa menyesatkan. Buku juga tidak pernah membahayakan. Kita manusia punya akal fikiran bukan? Jika tidak setuju dengan tulisan dalam buku ini, saya harap akan ada Sunni yang tampil menghasilkan fiksyen menentang idea-idea Faisal Tehrani secara bijak. Bukan ‘mengorbankan’ buku dengan mengeluarkan fatwa haram. Oh ya, mungkin juga ada Salafi yang ingin menulis-balas? Saya masih dahagakan penulisan yang sarat sebegini. Andai saya yang naïf ini masih boleh berfikir secara rasional, mengapa tidak anda seorang ilmuan yang tinggi pengetahuan? Apakah perselisihan mazhab sekarang lebih menjurus ke arah pertelingkahan politik? Mungkin dengan mengetepikan perbezaan mazhab dan fahaman bisa menjurus ke arah penyatuan ummah. Wallahualam.




Syaitan

3


Itu dia si syaitan.
Dulu bajunya hitam kini dah jadi putih.

Itu dia si syaitan.
Dulu luahnya carutan kini tinggal pujian.

Itu dia si syaitan.
Dulu tempatnya lorong kini tukar jalan.

Namun dia tetap si syaitan,
Apa yang dipakai dan dibuat hanya lakonan,
Buat tatapan si pencari Tuhan yang tersesat jalan.

by fi,


BUKAN KARMA

1

Kau mahu dia; kau ambil
Kau anggap itu hak kau; pertahankan
Kau rasa dia tak berguna lagi;
Jangan buang, campak, halau — sesuka hati.

Dia bukan boneka
Yang kau boleh sesuka hati
Perhambakan jiwanya. 

Kau fikir kau boleh terlepas?
Mereka juga boleh perlakukan
Sepertimana yang kau
Lakukan terhadap dia.


Ingat.


0


Hari ini aku realiti,
Esok aku mimpi,
Lusa aku tiada lagi,
Begitulah kisah sakti ini,
Sakit tak terperi,
Hidup dalam sepi,
Dan bila kau menangisi,
Aku kembali,
Pasti kembali.


Kau

2

sehingga Tuhan pijak kelantai
ego masih melangit

walhal mendongak untuk melihat
dan yang lain menunduk untuk simpati

by Redhzuan Indera, Tuesday, 12 February 2013


BEBAL

0


Kau baru tengok kulitnya,
(baca pun tidak),
Sekadar tengok gambarnya sahaja
Kau dah nak nilai isinya?
Kau baru tengok gambar aku
(kenal pun tidak),
Sekadar tengok dari jauh dah nak nilai aku?
— Kau silap.
Kalau begitu boleh aku
Membuat andaian dengan hanya melihat
Luaran semata-mata?
— Kau bebal.


Dan Itu Mimpi Yang Dia Panggil "Cinta".

1

Kerana mimpinya kini
Yang dia panggil Cinta
Adalah satu momen indah
Yang hanya memenuhi
Tidur malamnya yang dingin dan sunyi

Cinta yang hanya ada
Dia dan gadis yang memiliki separuh hatinya
Menari dan menyanyi
Lagu cinta remaja yang romantis
Dan terus meraikan cinta mereka
Setiap malam
Tidak pernah tertinggal
Seperti satu temu janji
Sejak azali

Dan di daerah lain
Seorang gadis kecil bermata galak
Yang terkurung di dalam rumah
Pagarnya tidak kelihatan
Tapi dirinya terkurung dan terhalang
Cuma mampu mengadu domba pada bulan
Tidur dan berharap
Mimpinya setiap malam
Hadirnya seorang lelaki
Yang mampu buat dia tersenyum gembira
Walau hanya dalam mimpi
Kerana tiada lagi cinta untuknya
Di alam realiti


Post navigation