Telepati

"Ada sesuatu di balik pintu makmal ini. Pergilah ke situ dan lihatlah", mata Ilsa tertutup ketika dia bercakap
"Apa yang kau nampak?", Dr. Jerome bertanya sambil tangannya masih menulis
"Seperti orang sedang berdiri merapati pintu itu. Bertubuh agak pendek, berambut panjang, berpakaian blaus", jelas Ilsa lagi.

Dr. Jerome lantas bangun dari kerusi dan menuju ke pintu. Ternyata jasad anak perempuannya sedang menekup telinga ke daun pintu untuk mendengar perbualan mereka.

"Oh! Ini cuma anakku. Bagaimana kamu tahu?"

Dr. Andrew Jerome seorang doktor psikologi berbangsa Yahudi ini sangat kagum dengan kebolehan wanita muda ini. Biarpun cacat penglihatan, Ilsa Demechelis dapat 'melihat' apa yang difikirkan atau dirasa olehnya melalui cara yang menakjubkan. Ini membuatkan Dr. Jerome ingin meneruskan eksperimen terhadapnya lagi.
Di eksperimen lain, Dr. Jerome memberi seutas lilitan tali. Ia disimpulkan. Kemudian, digenggam erat dalam tangan Ilsa.

"Okay. Sekarang ceritakan pada aku apa  yang kau dapat 'lihat'", perintah Dr. Jerome
"Sebuah medan perang bersalji, barisan tentera Nazi, bersama seorang pemimpin yang angkuh. Kelihatan manusia yang tidak berdosa berteriak lalu ditembak secara pukal! Diselangi salakan anjing kedengaran. Aaahh...hentikan!...hentikan!...ahhh!",
Ilsa seperti tidak tenteram. Kepalanya berpaling ke kiri kanan.
"Tenang Ilsa! Tenang!", genggaman tangan Ilsa terbuka lalu tali itu terlepas ke lantai.
"Apakah yang kau berikan pada aku tadi?", soal Ilsa
"Cuma tali pengikat leher anjing tentera Nazi", balas Dr. Jerome.

Selepas eksperimen itu, Dr. Jerome bercadang untuk bertemu dengan rakannya, Dr. Lukas Wedstelheins dari Persatuan Psikik Berlin. Membincangkan hal wanita yang aneh ini. Kemudian satu eksperimen dijalankan bersama di makmal Dr. Jerome.

Sekarang. terdapat dua kotak berisi segumpal rambut. Kotak pertama diletakkan atas tapak tangan Ilsa.

"Tarik nafas dan beritahu aku apa yang kau 'lihat'", Dr. Jerome bersuara
"Brazil. Lelaki ini sangat lincah. Dia bermain bola sepak dengan penuh bergaya. Menjadi idola hampir pada seluruh penduduk dunia!", jelas Ilsa penuh yakin.

"Ini kotak seterusnya", Dr. Jerome menukar kotak satu ke kotak kedua.
"Seorang wanita yang digeruni. Rambutnya mempunyai bentuk yang pelik. Sebuah negara yang korupsi Seorang lelaki naif amat mengilai wanita ini. Mereka sanggup lakukan apa saja demi cinta sejati!", jelas Ilsa

Dr. Jerome memandang muka Dr. Lukas. Dia mengangguk tanda apa yang dikatakan oleh Ilsa adalah tepat. Itu adalah rambut seorang bintang bola sepak Brazil, Ronaldinho dan wanita berpengaruh di sebuah negara Asia Tenggara, bernama Rosmoh. Dr. Jerome tersenyum. Tapi dalam fikirannya masih diganggu sedikit kekeliruan. Apakah Ilsa seorang pengamal ilmu hitam? Atau dia mampu berinteraksi dengan alam ghaib? Mungkin jugak dia mempunyai daya membaca minda manusia lain seperti telepati. Ini sangat memusykilkan. Siapakah sebenarnya Isla Demechelis?



Didi.Andra