Mahu aku sa-ekor anjing.

0

Siapa yang tidak mahukan seekor anjing
yang sentiasa setia
yang akan membawa kembali batang kayu yang dilempar
yang suka menjilat-jilat muka
yang menyalak jika ternampak hantu
yang membising dengan orang asing
yang mengencing di tiang-tiang
atau di pili bomba
atau di pokok-pokok
atau di mana-mana sahaja tempat yang belum ditanda,
siapa yang tidak mahu
akan sebuah kesetiaan.


Ulasan Ringkas: Random Access Memories (Daft Punk)

0

Musik dansa elektronik (EDM) bukanlah makanan kegemaran saya. Ia sebuah bunyi yang tidak saya fahami bentuk-susun, bahasa-tutur, dan cara untuk menikmatinya. Pengetahuan saya tersangatlah dangkal. Apatah lagi EDM lenturan Daft Punk (DP) yang mereka di dalam jargon ini mengangkatnya seperti messiah. Saya bersua DP buat pertama kali sekitar 2011 bukan dari musik mereka, tetapi melalui topeng robotik duo Thomas Bangalter dan Guy-Manuel ini. Ya, cuma dari topeng. Rilisan pertama dari DP yang saya dengar pula ialah Human After All dan ia tidaklah begitu memikat (ketika itu saya tidak tahu album ini dilabelkan sebagai tumit achilles mereka). Sepatutnya saya mulakan dengan album Discovery yang diagungkan namun nasi sudah pun menjadi bubur. Persepsi pertama saya sudah terpesong.

Masalah terbesar EDM bagi saya ialah runut-runut bunyinya seolah palsu dan tiada roh. Mungkin kerana saya kurang menggemari bunyian elektronik, bak kata Eddie Vedder; 'lagu yang baik (selalunya) mempunyai elemen-elemen natural', maka kerapkali EDM saya letakkan di tepi, sekadar mampu berlegar-legar di luar pagar hati. Dek kerana itu, bayangan DP turut perlahan-lahan memudar, malah hampir menghilang, sebelum ia diselamatkan dengan jayanya oleh lagu Instant Crush. Trek ini bertanggungjawab memikat saya untuk kembali merujuk DP. Ia menampilkan vokal terbaik Julian Casablancas (The Strokes) yang mengepalai susunan musik bercirikan kugiran pop yang saya fahami. Setelah beberapa ketika mengagumi keunikannya, saya beralih pula ke trek funky yang segera menjadi kegemaran saya, Lose Yourself To Dance feat. Pharrell Williams. Ini seterusnya membawa saya ke album penuhnya yakni rilisan terbaharu DP; Random Access Memories (RAM).

*sumber
Mengejutkan, RAM sangat berbeza jika dibandingkan dengan album-album terdahulu DP. Saya tidak tahu apa yang peminat setia EDM mereka katakan mengenai rilisan ini, kerana RAM pada saya tidak langsung berbunyi EDM. Sebaliknya ia sarat dengan unsur-unsur semulajadi yang dikatakan Vedder. DP melalui RAM 'telah meninggalkan riff EDM berpengaruh yang mereka pelopori kepada bunyi, gaya, dan teknik produksi dari era 70an dan awal 80an'. Penggunaan bunyi mesin dan sampel (kubu kuat DP) telah digantikan dengan hasilan musik dari pemusik dan instrumen sebenar. Transisi besar ini telah memihak kepada orang seperti saya. Berbekalkan pengalaman saya menyusuri sisi retro pop musik terdahulu, mudah sahaja bagi album ini untuk menembusi kotak pemahaman saya. Trek-trek hebat seperti Give Life Back to Music, Giorgio by Moroder, WithinTouch, Get Lucky, BeyondDoin' It Right dan Contact antara yang kerap saya ulangmain-kan (saya rasa saya dah senaraikan hampir semua trek).

Di manakah letaknya RAM di dalam jargon EDM? Kemungkinan besar ia berada di dalam landasannya yang tersendiri. Memetik ulasan laman Rolling Stone; rilisan ini ialah 'judul tindihan rock progresif bersama musik dansa disko yang mengorbit antara Pink Floyd dan Earth, Wind and Fire'. Tepat sekali. RAM mungkin ialah satu-satunya album DP yang saya gemari, yang boleh juga saya katakan; sebuah rilisan yang cool-ier than thou!





In , by m o y a, Tuesday, 8 September 2015


Kau yang menunggu di hadapan pintu

0

Kau yang menunggu di depan pintu
seolah sengaja kamu keluar dahulu dari aku
saya yang lambat fikirnya tiada apa-apa
rupanya kau dan kawan kamu berdiri di sana menunggu siapa tak aku tahu
terpaksa saya lalu dengan rasa malu
dan aku senyum
kerana kawan kau itu tersenyum saat saya membuka pintu.


Manakah Bulan?

0

Semalam bulan tak ku lihat
aku tercari-cari manakan dia si purnama itu
aku pandang timur tiada, selatan tiada
utara juga kosong tiada apa-apa dan
barat cuma ada seroja
bukan aku tak gemar seroja cuma semalam ku tak mahu dia
aku hampa lalu naik aku ke rumah dan
aku ternampak kamu,
rupanya kaulah bulan pada malam itu
bulan yang berbatu-batu.


nya dan Nya

0

nya beri rasa cinta
nya beri kasih dan sayang
Nya yang mencipta segala rasa
Nya Maha Pengasih dan Maha Penyayang
nya datang dan pergi
Nya sentiasa disisi
nya selalu teringat
Nya kadang dilupa
nya memberi persoalan
Nya simpan jawapan
dengan-Nya atau bersamanya
deminya atau untuk-Nya
kerana-Nya atau sebabnya
nya atau Nya
kita pilih siapa? 


Post navigation