Manakah Bulan?

0

Semalam bulan tak ku lihat
aku tercari-cari manakan dia si purnama itu
aku pandang timur tiada, selatan tiada
utara juga kosong tiada apa-apa dan
barat cuma ada seroja
bukan aku tak gemar seroja cuma semalam ku tak mahu dia
aku hampa lalu naik aku ke rumah dan
aku ternampak kamu,
rupanya kaulah bulan pada malam itu
bulan yang berbatu-batu.


nya dan Nya

0

nya beri rasa cinta
nya beri kasih dan sayang
Nya yang mencipta segala rasa
Nya Maha Pengasih dan Maha Penyayang
nya datang dan pergi
Nya sentiasa disisi
nya selalu teringat
Nya kadang dilupa
nya memberi persoalan
Nya simpan jawapan
dengan-Nya atau bersamanya
deminya atau untuk-Nya
kerana-Nya atau sebabnya
nya atau Nya
kita pilih siapa? 


Kerana Hari-Hari Buruk Ialah Serigala Yang Jahat, Sayang.

2


Sajak di atas diambil dari filem The Grey (2012) arahan Joe Carnahan yang juga merupakan pengarah filem The A-Team (2010). Secara peribadinya ia antara filem kegemaran saya, bukan kerana dibintangi Liam Neeson, namun kerana saya sukakan tema, mesej, jalan ceritanya serta sajak ini. The Grey ialah wayang kisah manusia melawan alam, atau man vs nature, atau man vs wild. Liam Neeson sebagai watak utama bernama John Ottway bersama kumpulannya terkandas di hutan Alaska selepas kapal terbang yang dinaiki mereka hilang kawalan dan terhempas di situ. Di dalam cubaan untuk menyelamatkan diri dan terus hidup, mereka telah diduga dengan cuaca ekstrim, konflik dalaman sesama mereka serta antagonis cerita ini; sekumpulan serigala kelabu. 

Sajak ini ialah satu-satunya jambatan memori antara Ottway dan mendiang bapanya. Melalui rangkap ini, semangat bapanya telah diperturunkan kepadanya. Sekurang-kurangnya ia membuatkan Ottway bertahan demi menempuh hari demi hari. Saya juga berfikir begitu. Dari kaca mata saya, sajak ini pendek, tetapi mesejnya sangat besar dan kuat, dan itulah yang membuatkan ia menarik sekali. 'Jangan putus asa', 'percaya pada kekuatan diri sendiri', 'tabah menempuh dugaan' dan lain-lain yang seangkatan antara mesej-mesej yang saya boleh tafsirkan. Menyokong idea ini, dua baris terakhirnya sengaja dibiarkan berulang, mungkin demi memberi penekanan pada mesejnya. Hey, ia berkesan. Sajak ini jadi hebat dan menarik dek pengulangan baris tersebutlah.

Di dalam babak-babak terakhir The Grey, hanya Ottway yang tinggal (yang lain sudah mati) dan beliau telah dikepung oleh kumpulan serigala yang memburunya sedari awal. Terperangkap, Ottway cuma ada dua pilihan, (i) menyerah diri dan membiarkan dirinya dibaham atau pun (ii) bangun melawan. Semestinya, menyahut semangat bapa dan sajaknya, Ottway memilih pilihan kedua. Filem kemudian terus ditamatkan begitu sahaja. Nasib Ottway sama ada hidup atau mati diakhir cerita tidak diketahui, namun audien dibiarkan melihat dan mempercayai yang itu ialah pertempuran terhebat dan terakhir beliau demi nyawanya.

Kesimpulannya, hari-hari buruk kalian ialah serigala yang jahat yang mahu kalian mati kerana mereka lapar dan daging kalian sedap. Walaubagaimanapun, jangan mengaku kalah. Kalian sekarang ada sajak ini dan Liam Neeson, jadi lawanlah! 




puisi untuk bapak

0

ucapan hari lahir di tepian pantai, akan berbekas sehingga ke tua.
--selamat hari tua, bapak (;

hari ini
terik matahari
bapak belum pernah ucap selamat pagi
walaupun hari menjelang tinggi

bapak tidak ada yang lebih abadi
selain dari kasih seorang wali

berapa tahun kita lalui
tanpa selempar tikar dikaki
walau keringat hampir ke mati

bapak belum pernah lagi
menghayun lagak ngeri
pada wajah anak anak suci

bapak kembali berubah dalam nadi hidup kami
apabila bapak mula poligami

bagi meleleh kasih cinta saban hari
bapak serah segalanya pada ummi.



Agenda nombor 11

1

Aku masuk dan terus mengambil tempat di belakang sekali.  Alasan aku mudah, aku bukan mahu mendengar sangat dan tidak mahu bertanya sebarang soalan.  Tidak ketinggalan, aku juga sebenarnya sudah lewat tiga puluh minit untuk mesyuarat ini.

Dari belakang, aku mendengar dengan jelas segala butir-butir mesyuarat yang sedang disurahkan oleh ketua jabatan.  Dari tadi, nada suaranya tidak berubah, sentiasa tinggi.  Aku tidak tahu samada ini betul-betul satu mesyuarat atau sesi memarahi staff bawahan.

Dari tempat duduk, aku meninjau-ninjau jauh ke hadapan.  Kelihatan seorang staff sedang mencatit segala apa yang keluar dari mulut ketua jabatan.  Owh aku hampir terlupa bahawa memang tugasnya sebagai minutes taker untuk semua mesyuarat yang melibatkan ketua jabatan, samada di dalam dan juga luar jabatan.  Di sebelahnya pula duduk seorang staff yang kejap angguk, kejap tulis, kejap angguk dan angguk angguk angguk.  Itu adalah bos yang kedua, yakni satu lapisan di bawah ketua jabatan.  Satu tulis dan lima angguk itu merupakan satu definisi yang tepat untuk menggambarkan peribadi beliau.

Dan yang selebihnya adalah staff-staff bawahan yang merupakan penggerak utama jabatan ini tetapi macam biasa la, yang paling kurang mendapat perhatian.  Aku memerhati flip chart yang sudah hampir penuh diconteng oleh ketua jabatan.  Aku cuba membaca apa yang tertulis.  Ada agenda sebagai tajuk besar, dan ada nombor satu sehingga sepuluh dibawahnya.  Mengambil kira ada sepuluh agenda, beserta  hal-hal lain yang akan ditambah secara tidak sengaja oleh ketua jabatan, aku menjangkakan  mesyuarat ini akan mengambil masa selama dua jam.  Lebih parah, tiada tea o suam dan mihun dihidangkan.  Karipap pun takde.

Selepas kesemua sepuluh agenda dibentangkan, ramalanku kurang tepat apabila masa sebenar yang diambil untuk mesyuarat ini adalah selama dua jam tiga puluh minit.  Aku tertidur untuk tiga puluh minit terakhir itu.  Tiba-tiba, ketua jabatan memandang tepat ke arahku dan mula bertanya.

"Mustaqim, kamu denagr apa yang saya beritahu tadi?"

"Dengar Puan, dengar"

"Agenda mana yang kamu rasa kamu kena buat lepas ni?"

"Agenda nombor sebelas Puan"

"Hahh nombor sebelas? Agenda ada sampai sepuluh je Mustaqim"

"Agenda nombor sebelas, sila kemas bilik mesyuarat ni dan simpan semula flip chart dan LCD projektor di tempat yang sepatutnya"



Post navigation