Kerna aku manusia biasa

1

Aku henyuk dua pejal bulat daging punggungku di sofa merah delima dengan rakus sambil menunggu angka giliran aku.“Datang awal pun ramai orang, ” bentak hati aku.
Dalam keasyikan pelanggan dengan urusan mereka, pandangan aku tertancap pada tubuh-tubuh manusia yang ligat buat aku berfikir seorang diri. Aku imbas momen-momen saat aku gigih mengeja hingga aku pandai berdikari sendiri, Sinis.

 Peace hate war so much while war is struggling for peace.”

Betul-betul buat aku ingat pada teman aku. Saat keamanan yang ada buat manusia leka itulah tanda perang yang bakal tiba sedangkan bersusah payah berperang untuk dapatkan keamanan adalah perkara yang sukar dicapai.
Pendekkan ceritanya.

Apa yang merunsingkan aku saat ini ialah perbezaan yang aku sendiri lihat dengan mata kepala aku. Jelek, bercampur baur perasaan aku. Keadaan mengubah segalanya. Mungkin aku tidak bernasib baik untuk dilahirkan awal dalam keadaan serba biasa. Aku sendiri selesa digelar perempuan biasa, bukan kerana aku selekeh atau sebagainya. Tapi nilai dalam diri aku yang berbeza dengan anak muda sekarang.

Ahh, celaru fikiran aku bila mengenang 10 tahun akan datang. Mampukah aku mendidik anak-anak aku seperti mana aku dididik oleh ibubapa aku dahulu. Aku mampu berharap teknologi tidak akan musnahkan anak bangsa sendiri. Rosak, punah semua. (Mungkin prasangka aku).
Macam-macam trend aku tengok, kenapa perlu ubah setiap benda walaupun aku mengaku manusia sekarang terlalu inovatif, kreatif sangat. Masya Allah, tidak padan dengan usia kreatifnya kadang-kadang sampai satu tahap aku rasa.

Bullshit!

Terlalu melampau pada aku yang berhati kampungan ini. Mungkin ada yang baik mungkin ada yang tidak. Tapi itu pandangan aku.
Perempuan sekarang banyak yang berhijab tapi tergedik-gedik. Aku tidak mahu nanti semua perempuan bertudung dilabel hipokrit, bertudung kerana fesyen bukan kerana tuntutan agama. Marahkan aku kalau kau orang tak setuju. Bukak mata sikit, semuanya dunia je. (Gelak sendiri). Halal haram entah kau letak mana berhijab pun. Macam mana yang rambut berwarna pelangi selain warna asas orang melayu pula? Kah!

Ahh, sucks!

Itu aku rasa macam nak ambik buat mop. Bersyukur lah dengan apa yang kita dah ada. Manusia ni memang tepat sangat kalau dipadankan dengan istilah “demand". Tak akan pernah rasa cukup dengan apa yang sedia ada. Lumrah itu biasa bertepatan dengan fitrah manusia, Cuma kadang kau kena bertegas dengan diri jangan diikutkan sehingga tolak tepi apa yang sepatutnya. Aku malu kalau orang hina bangsa aku. Sebab maruah aku juga tercalar pada aku. Sudah! Tak baik aibkan orang lain. Pesan aku pada diri sendiri.

Aku fikir mereka sudah menamatkan segala kekeruhan yang pernah ada. Aku silap, silap kerana perang tidak akan pernah berhenti. Perang dengan naluri adalah perang paling bahaya malah lebih dahsyat dari perang dingin yang hampir cetuskan perang dunia ke-3. Aku mengeluh kuat, (makcik sebelah pandang pelik pada aku). Banyak benda yang aku lihat jauh terpesong dari apa yang sepatutnya. Aku sendiri banyak khilaf cuma tak salah aku saling memperingatkan. Aku manusia, kau manusia, jangan asyik nak melenting!

“HAK AKU SUKA HATI AKU LAH NAK BUAT APA!”

Senang cerita esok kau mati, kau kafan, kau mandi, kau tanam dan kau talkin lah diri kau sendiri sebab apa? Kau cakap kubur masing-masing kan?


Letih aku mengomel sendiri. “1108 kaunter 4, ” diulangi kali kedua.
Tersentak aku dari kusyuk mengelamun. Nyaris terlepas giliran aku, setelah urusan aku disitu selesai lantas aku pulang bertemu kekasih hati.


Jalan Pulang

1

Angin perlahan-lahan
Menampar pipi kiri kananku
Hanya untuk buat aku sedar
Yang diri ini sudah letih
Penat hanya mengejar
Tidak tercapai
Sedikit pun

Kicauan burung seakan mengejek
Melihat aku yang berjalan pulang
Dari satu pertemuan penuh negativi
Saat ucapan perlahanmu mencederakan aku, kejam,
"Usah lagi dinanti aku, carilah teman baru..."
Ibarat sebuah elegi yang bermain berulang kali
Di dalam kepala 
Seperti kaset yang tersangkut
Dan hanya main lagu yang sama

Aku terus berjalan pulang
Bersama-sama angin petang
Dan burung-burung yang turut mahu pulang
Menemani aku yang kini
Cintanya tiada lagi di tangan.


Tepis dengan Angan-Angan

1

Ketika beliau mengajukan soalan berapakah umur aku tahun ini, aku memandangnya dalam-dalam.  Perempuan, seperti biasa akan pusing sana pusing sini pusing sana pusing sini dahulu sebelum dia bertanya soalan yang sebetulnya.  Perempuan tidak akan bertanya secara direct dan tidak juga akan faham jawapan bersifat direct.  Ini sifir yang seharusnya tertanam dalam benak kaum Adam seantero dunia.  Jika ini pertama kali kau mendengar pernyataan ini, aku tidak pelik jika kau tergolong di dalam golongan yang merayu kepada perempuan supaya menemani kau keluar.  Menonton filem Avengers terbaru misalannya. 

“I semakin berusia, you semakin berusia, orang di hadapan ini juga, tak lupa di belakang sana juga” itu jawapan aku.  Dia nampak tidak berpuas hati dengan jawapanku, mungkin juga dia merasakan jawapan itu bersifat sinis.

“Apa perancangan bila umur semakin meningkat?” Nampaknya dia masih belum berpuas hati dan tampil dengan soalan yang lebih mencabar, yang kalau tersilap jawab, boleh mengundang malapetaka besar.

“Perancangan yang macamana you nak I cerita ni? Let me know” aku masih belum mahu menjawab.
“Please, I want to know” dia jawab sambil buat muka mengharap yang boleh buat hati lelaki macam kita ni, well akan cair.

“Okay I akan jawab sebagaimana mostly perempuan nak dengar, okay perancangan I sekarang ni, I tengah kumpul duit, sikit sikit sikit then I akan jumpa parents you, I call parents I then diaorang pun datang bincang dengan parents you, then bawa rombongan meminang, kita bertunang if you agree, kahwin siap ada persembahan puisi, dapat anak then upload setiap jam di instagram, okay yang last tu melampau, so what do you think?”

“Hahaha kelakarlah you ni, tapi memang betul ke tu perancangan you? Wow klise” sememangnya itu adalah jawapan dan perancangan klise dari hampir kesemua lelaki.

“Nope, perancangan I, hari ni last kita jumpa, start tomorrow we will not see each other for a year, I bawa diri I, you bawa diri you, I nak pergi mengembara, jumpa ramai orang, singgah tempat baru, try makanan yang tak pernah I makan, try benda-benda baru macam bunge jumpee, then you pun should do it, tinggalkan Pavilion, tinggalkan channel E, tinggalkan Sephora, do the journey, explore new thing, but at the end, after one year, we meet again then we realize, even so many people with so various activities, it is not complete without you sweetheart”

“Ouchhh youuuuu, how sweet, you are different, yes you, that’s why I choose you”


Well, kalau aku hidup lagi tahun hadapan. 


Dan Kamarku Pun Menangis

1


Aku dibangunkan dengan selingkuhmu
bergantungan di kupingku.
Ia berdatangan lagi mengucapkan
berita semalam.

Di luar, angin bergaduh membawa
kedinginan masuk.
Di kamar ini, suaramu menjadi ribut melekat
pada dinding dan mengering.

Seperti wajahku yang dadu, dadaku
merusuh angan-angan kita kemarin.
Tidak ada kata-kata baik dari bibirku
yang luka, kerna seluruh sisi kamar ini
mencair dan menitikkan memoir ke mataku.




Mamori: Juli, Mesin Taip, dan Roh yang Sunyi.

0

"Memori itu perkara yang lucu," terang Mamori kepada Juli. "Tak semua entri akan kekal, kebanyakannya jatuh tenggelam di bawah sedar. Baik awak segera catat di mana-mana sebelum awak terlupa, Juli-san."

Mendengar saranan Mamori; bayang metafizikal memorinya yang dimaterialkan sebagai anak gadis jepun berseragam tank-top putih dan skirt tartan hitam merah, Juli kelam-kabut menggeledah meja kerja di biliknya mencari pen dan kertas. Usai ketemu, dia mula menulis memorinya satu demi satu, dalam bentuk senarai bernombor. Nombor satu, memori satu. Nombor dua, memori dua. Nombor tiga, memori tiga. Begitulah seterusnya. Juli berhenti bila huruf-huruf dari pennya menjejak separuh kertas. Dia perasan yang lenggok tulisannya terlalu buruk, sukar untuk dibaca.

"Tulisan awak terlalu buruk, sukar untuk dibaca," Mamori mengiyakan anggapan Juli.

"Saya rasa saya perlukan mesin taip, Mamori-chan," Juli memandang Mamori, pinta simpati. Mamori membalas dengan wajah acuh tak acuh. Tetapi beliau bingkas bangun dari duduknya kemudian membuat beberapa pergerakan tangan. Menjelmalah sebuah mesin taip di hadapan Juli secara magikal.

"Ini bukan sihir, ia magik," jelas Mamori, walaupun Juli tak sibuk bertanya.

Juli kembali menaip memorinya satu demi satu, dalam bentuk senarai bernombor. Nombor satu, memori satu. Nombor dua, memori dua. Nombor tiga, memori tiga. Begitulah seterusnya. Dia kelihatan gembira dan bersungguh-sungguh. Tulisan yang terhasil dari mesin taip itu sangat cantik, tersusun dan mudah dibaca.

"Ah, hujan, Juli-san," Mamori mencelah. Di langit malam, perarakan gah awan terlerai lalu turun sebagai hujan yang lebat. Atap bilik Juli dihentam kuat. Jendela biliknya juga terbocor sedikit dek tempias angin. Menjejak memori ke-24 di atas helaian kedua, Juli terlalu leka dengan mesin taip magikalnya. Langsung ribut di luar itu diabaikannya.

Menyedari dirinya tidak diperlukan, Mamori melangkah menghampiri jendela. Langsir yang sedikit basah itu diselaknya demi menjeling bulan. Malang baginya, bulan sudah tidak kelihatan lagi. Beliau mengeluh panjang. Senyap-senyap tanpa Juli sedar, bayang Mamori memudar perlahan-lahan, sebelum lenyap wujudnya dari pandangan.

Seraya itu, percikan halilintar di langit membawa ledakan guruh yang dahsyat. DUM! Juli diselubungi kegelapan. Bekalan elektrik di rumahnya terputus. Jemari Juli di atas kekunci mesin taip itu telah berhenti menaip. Agak lama dia kekal kaku di posisi itu. Mungkin hampa, siapa yang tahu? Di hujungnya Juli juga mengeluh panjang. Tiada apa yang boleh dilakukannya dengan keadaan hitam begini, maka sambil meraba-raba dia pun menuju ke tempat perbaringan. Empuk punggung bercium empuk tilam. Juli baring diam-diam merenung entah apa. Kuil mindanya ditenggelami perasaan. Juli terkenang roh yang jauh.

Bumi hujan, tanah kubur basah berlecak,
roh sunyi bertambah sunyi,

"Janganlah sunyi begitu, datanglah ke kamarku,
jenguk aku yang merinduimu,"

Juli tak tahu, roh terbang tak boleh jauh,
pada bumi roh tersauh,
dan Juli terus menunggu,

"Roh mungkir janji," bilang Juli,
Malam panjang tak diisi tidur,
Juli menangis, roh juga menangis,
Malam panjang yang tak diisi tidur,

Pinta Juli pada Tuhan,
Juli ingin bertukar tempat,
"Macam putera dan si papa,"
Juli menjadi roh, roh menjadi Juli,
Dihembus doa terbang ke bulan,

Bumi hujan, tanah kubur basah berlecak,
Juli menjadi roh, sunyi.
Roh menjadi Juli, merindui,
kitarannya tak pernah selesai,
hidup dan mati,
Ya, hidup dan mati.






In by m o y a, Monday, 18 May 2015


Post navigation