Pita Kenangan

4


Jika kenangan pahit yang berputar di ruang minda boleh diandaikan seperti pita rakaman, pasti sekarang aku sedang sibuk mencari pisau. Mahu saja aku kerat babak-babak yang menyakitkan itu kemudian aku gantikan dengan kepingan pita baru yang berwarna hijau muda, teal, ungu dan light salmon.

Malangnya pisau itu tiada.

Jadi,suka atau tidak, pita ini harus terus terpasang dan hanya akan terhenti jika aku ditimpa amnesia, alzheimer atau meninggal dunia.

Hari demi hari, aku menjadi penonton setia kepada pita rakaman yang terpasang. Ironinya hanya aku seorang yang dapat menontonnya, maka sekaligus aku jugalah yang menjadi hakim tunggal. Hinggalah tiba satu momen, aku hampir hilang perkataan untuk merungut dan sesak nafas untuk mengeluh. Aku juga sudah ketandusan tenaga untuk mencari pisau yang langsung tidak kelihatan.

Maka kali ini, aku tekad menamatkan pencarian. Yang aku perlu adalah menggulung pita ini sebaik mungkin dan menyimpannya kemas-kemas di sebalik cranium otak. Kerana mungkin suatu hari nanti, semua orang akan meninggalkan aku.. lalu yang tinggal  hanyalah pita ini sebagai teman karib.

Siapa tahu, mungkin waktu itu aku akan tertawa sendirian menontonnya. Masa bisa menjadi gula untuk hilangkan kepahitan momen lampau, kawan.

Mungkin.



Putihkan Aku

5


Pada baris baris
Yang menyentuh antara bahu

Hela hembus takbir
Dalam malam seribu satu

Telah terserak gundah kelabu
Membias wajah di hujung salam
Soal hati yang berselimut
Ucap janji yang menjerut
Dan dahi yang tak bersujud

Lalu basahlah jiwa dalam qiam
dan berserulah
Putihkan aku seperti pakaianku.


Kerana Dia Kelihatan Lebih Gembira Menari Dalam Hujan Lebat

3


Dan titisan air hujan menitis ke cermin
Memecahkan kesunyian pagi itu
Percikannya sesekali terjatuh ke riba ku
Di kala aku berteleku di tingkap bilik
Melihat dia di hadapan rumah ku
Gadis berskirt putih krim
Sedang menari sendirian
Dalam hujan lebat

Dia kelihatan sangat gembira
Dia tersenyum puas sambil menari
Senyuman itu kekal bercahaya
Di dalam suram hujan
Adakah dia menari kerana gembira
Atau mungkin dia menari untuk menghilangkan kesedihannya

Dan akhirnya dia keletihan
Menari di dalam hujan
Dan aku terlihat dia mengesat air matanya
Lalu aku berfikir
Ada kah ini air hujan
Atau air mata nya yang naik ke awan dan turun membasahi diri nya sendiri
Dan dia menari di atas kesedihannya itu?


kelahiran kembali

3

dalam kamar suram,
lilin ku jadikan bulan,
lalu kutulis secoret puisi kesepian,
tak punya harapan,
tak punya teman,
hampir setiap malam ku bermandikan kerinduan,
lantas ku lakarkan sebuah kehidupan,
kahidupan yang ditikam rakus,
dan sejak itu aku ngerti,
apa itu hidup apa itu mati,
apa rasanya bunuh diri,
dan apa rasanya kelahiran kembali.

suatu masa dirumah kotai,
dikelilingi orang luar negri.


Kerana Bulan Tidak Pernah Meninggalkan Langit Di Waktu Malam

5


Dan aku terlihat
Sepasang sayap putih
Terbang ke daratan ini
Mendekati gadis yang menangis dalam doanya
Dan memeluk jiwa  yang membeku
Kesejukan

Dan aku terdengar
Esakan perlahan;
---suara rindu
Memenuhi setiap ruangan yang berudara
Dan menarik aku untuk bersama
Berkongsi tangisan bersamanya
Hilangkan sedunya malam ini

Dan aku terpandang
Di sudut paling hujung sebelah sana
Sepasang sayap putih
Sedang tersenyum melihat aku
Dan dia langsung terbang ke atas semula
Bersama doa si gadis berjiwa ais
Membiarkan aku memeluk jiwa

Dan dikala malam yang sepi ini
Aku terdengar sedu si gadis berjiwa ais;
---Terima kasih, wahai jiwa yang tenang.


Aku tersenyum dan melihatnya
Lalu berkata lah aku;
---Tuhan sedang menanti doa-doamu. Teruskan tersenyum.


Post navigation