Tak susah untuk mengaku

Kanser tahap tiga. Itulah aku. Tiada rambut, badan lemah dan aku mesti duduk di dalam rumah. Ibuku khuatir aku akan mati di jalan raya. Dilanggar lori. Sudah 7 bulan aku duduk dirumah. Aku rindukan suasana diluar. Aku rindukan bau rumput baru dipotong. Aku rindu angin pagi yang sejuk. Aku rindu melihat kanak-kanak berlarian di padang. Aku rindu anjing mengejar aku ditepi jalan.

Semalam aku ke hospital, berjumpa dengan doktor yang merawatku. Doktor kata aku hanya mempunyai 2 minggu sahaja untuk hidup. 2 minggu, masa yang sangat singkat. Tak sempat pun nak tunggu Diablo 3 released. Sia-sia sahaja aku beli PS3. 2 minggu, masa yang sangat dibenci auditor. Aku tahu kerana aku dulu auditor, tapi kerana audit lah aku mendapat kanser. Kanser otak.

Seharian aku duduk dirumah. Aku sudah malas makan ubat-ubatan yang doktor berikan. Aku sudah malas mengambil injection yang ibuku akan cucukkan. Aku sudah malas untuk duduk diatas katil sahaja. Hari ini, aku akan keluar dari rumah. Aku akan berjalan, aku akan mengambil nafas udara segar diluar. Aku akan mengetuk kepala budak kecik bermain ting ting.

Lantas aku berpakaian sempurna, bertudung. Tiada lagi seluar pendek, tiada lagi baju tidur. Aku ingin keluar. Sendirian. Ibuku tidak melarang, mungkin dia merasakan aku deserve untuk keluar buat kali terakhirku. Keluar sahaja dari pintu, aku membelok ke kiri. Berjalan sehingga aku tiba di deretan kedai. Aku ternampak kedai CD game cetak rompak. Aku pun masuk.

Berdirinya seorang staff dibelakang kaunter. Sungguh kacak. Aku terpaku, ingin menegur tetapi malu. Lantas aku melihat kepingan-kepingan CD di rak. Aku mengambil satu. Memberikan kepadanya. Dia tersenyum dan berkata sebentar, dia ingin ke stor mengambil plastik beg. Aku mengangguk. Dia kembali dan memberikan CD tersebut kepadaku. Aku pulang. Balik, CD tersebut aku sumbat dalam laci.

Keesokan harinya, aku pergi ke kedai CD itu sekali lagi. Mengambil sebuah CD. Memberikan kepadanya. Dia ke stor lagi untuk mengambil plastik beg. Aku pulang. Aku suka lelaki tersebut. Aku ingin melihat mukanya. Kerana itulah kejadian ini berulang-ulang sehinggalah hujung minggu. Kemudian aku tidak datang lagi. Kerana aku sudah mati. Selamat dikebumikan selepas Zohor tadi.

Lelaki di kedai CD itu tidak mengetahui tentang keadaanku. Maka dia menunggu kehadiran aku. 4 hari selepas kematianku, dia datang ke rumahku. Bagaimana dia tahu alamatku, ha ini kita tak tahu. Mungkin dia stalker. Mungkin juga dia jiranku. Dia bertanya kepada ibuku, tentang aku. Terkejut dia mendengar berita lantas terduduk didepan pintu rumahku. Tak malu. Dia mengucapkan terima kasih dan balik.

Ibuku pelik. Ibuku masuk ke dalam bilikku. Dia masuk dan menggodek segala baranganku. Ibuku membuka satu laci dan melihat kepingan-kepingan CD yang aku beli. Tiada satu pun dibuka. Maka dengan gatal tangan seorang ibu yang curious, ibuku membuka setiap keping CD yang telah ku beli. Buka satu, sehelai kertas jatuh. Buka lagi satu, sehelai kertas lagi jatuh.

Ibuku mengutip setiap helai kertas yang jatuh itu. Terdapat 8 keping kertas. Semuanya tertera ayat yang sama.

“Awak comellah, saya suka tengok awak. Boleh kita kenal?”


by Shafa Eman, Friday 18 May 2012